Taubat bermaksud kembali kepada Allah dengan melepaskan ikatan perlakuan dosa-dosa secara berterusan dari hati yang ikhlas kemudian bangun dengan melaksanakan perintah Allah. Allah telah memerintahkan kepada seluruh orang-orang yang beriman untuk bertaubat.
Allah berfirman yang bermaksud : “ Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman nescaya kamu beruntung.” (an-Nur, ayat 31) Malahan Allah menyifatkan orang yang tidak mahu bertaubat termasuk dalam golongan yang zalim.
Allah berfirman yang bermaksud : “Dan barangsiapa yang tidak mahu bertaubat, mereka itulah orang-orang yang zalim.” (al-Hujurat, ayat 11)
Taubat merupakan sebagai satu penyucian diri daripada segala dosa yang dilakukan oleh seorang hamba terhadap Tuhannya di atas muka bumi sama ada disengaja ataupun tidak. Taubat adalah meninggalkan segala amalan maksiat yang dilakukan dan digantikan dengan amalan kebajikan.
Taubat mempunyai beberapa syarat dan rukun-rukunnya. Barangsiapa yang meninggalkan dosa semata-mata tanpa melakukan segala perbuatan yang disukai dan dicintai oleh Allah, maka ia tidak dipanggil orang yang bertaubat. Melainkan ia kembali dan mara menuju ke arah rahmat Allah. Antara syarat-syarat bertaubat ialah segera meninggalkan dosa, menyesali dosa yang dilakukannya, berniat tidak mengulanginya lagi serta mengembalikan hak-hak orang yang dizaliminya atau meminta halal darinya. Taubat hendaklah dilakukan semata-mata kerana Allah dan bukan kerana sebab lain seperti kerana takut celaan orang.
Oleh itu, orang yang hendak bertaubat mestilah menyesali perbuatan-perbuatan dosanya, menghilangkan segala keinginan berbuat dosa dan menyesali kelengahan taubatnya.
Monday, February 25, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment